Sabtu, 4 Februari 2017

Rizal Mansor mempunyai ingatan terpilih berkenaan lawatan PERMATA kami

Kenyataan media oleh Yeo Bee Yin, Adun Damansara Utama pada 21 Februari 2017 di Petaling Jaya.

Datuk Rizal Mansor seakan mempunyai ingatan terpilih berkenaan lawatan PERMATA kami

Saya begitu bingung dengan jawapan oleh pembantu Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor kepada kenyataan terbaru Pakatan Harapan supaya memotong perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri, termasuk mengubah peruntukan PERMATA kepada kementerian yang sepatutnya bagi tujuan pendidikan awal kanak-kanak. Beliau berkata bahawa saya dan beberapa rakan yang membuat lawatan ke PERMATA pada 6 Oktober 2016 telah berpuas hati selepas lawatan terbabit.

Beliau nampaknya mempunyai ingatan terpilih tentang apa yang telah kami bincangkan tentang PERMATA. Ketika lawatan tersebut, kami nyatakan dengan jelas bahawa program PERMATA perlu diletakkan di bawah Kementerian penuh, terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan bukan Jabatan Perdana Menteri. Saya petik sebahagian daripada kenyataan media saya pada 6 Oktober 2016 di sini:

“Kalau ada satu hal yang boleh saya bangkitkan dalam lawatan hari ini, ialah pendirian saya untuk menggesa Putrajaya meletakkan program-program PERMATA di bawah kementerian penuh yang sepatutnya, bagi memastikan bahawa program berjalan secara tersusun dan dengan strategi yang helas bersekali dengan program kerajaan.”

“Saya tidak melihat sebarang sebab, dari segi operasi, koordinasi dan strategi yang memerlukan agensi asing di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mencapai sasaran yang sama hendak dicapai oleh PERMATA. Memindahkan PERMATA dari Jabatan Perdana Menteri juga membantu untuk mengurangkan saiz Jabatan Perdana Menteri yang telah membusung sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil alih.”

Ini adalah selari dengan saranan rakan-rakan Pakatan Harapan - Khalid Samad, Saifuddin Nasution dan Liew Chin Tong, untuk memindahkan peruntukan PERMATA bagi tujuan pendidikan awal kanak-kanak ke kementerian yang sepatutnya. Cadangan sedemikian sewajarnya dipertimbangkan dengan serius oleh Putrajaya agar wang pembayar cukai dibelanjakan dengan lebih bijak, dengan strategi dan operasi yang lebih tersusun dalam hal pendidikan awal kanak-kanak.

Tambahan kepada itu, saya ingin mengingatkan Datuk Rizal Mansor bahawa ketika lawatan tersebut, kami meminta PERMATA membentangkan akaunnya. PERMATA meminta kami untuk menulis surat kepada Ketua Audit Negara untuk mendapatkan akaun tersebut, yang telah kami lakukan. Namun pihak Ketua Audit memberitahu kami bahawa akaun tersebut telah dipulangkan kepada PERMATA dan sebaiknya kami meminta akaun tersebut daripada PERMATA. Kami kemudian menulis lagi kepada PERMATA untuk meminta akaun itu, yang kemudian dibalas pada 10 Januari 2017 dengan berkata bahawa tidak ada keperluan bagi mereka membentangkan akaun terbabit. Kami nampaknya dibuat celaru tanpa jawapan yang memuaskan hati daripada PERMATA. Mungkin Datuk Rizal Mansor boleh memberi sedikit pencerahan.

Secara keseluruhan, kami tidak melihat sebarang sebab kenapa program yang dijalankan oleh PERMATA tidak boleh diambil alih oleh Kementerian penuh, yang pastinya mempunyai lebih pengalaman dan kepakaran dalam pendidikan awal kanak-kanak berbanding Jabatan Perdana Menteri. Mungkin keterujaan Datuk Rizal Mansor untuk mempertahankan PERMATA di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah disebabkan faktor-faktor selain manfaat untuk anak-anak Malaysia kita? Jadi siapa sebenarnya yang mendapat faedah terbesar melalui PERMATA dan peruntukannya dia bawah Jabatan Perdana Menteri? Jawapannya nampak begitu jelas sekali.